Dititipkan doa ini sebagai panduan untuk dibacakan selepas solat oleh Imam ataupun pada majlis perhimpunan keluarga.... mulakan doa dengan puji-pujian kepada Allah dan selawat keatas baginda Muhammad SAW.
Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim…. Kau yang Maha Pengampun… Ampunilah segala dosa dan kesalahan kami Ampunilah dosa dan kesalahan pasangan kami Ampunilah dosa dan kesalahan kedua ibu bapa kami, adik beradik kami & seluruh keluarga kami sama ada yang masih hidup atau yang telah meninggal dunia….
Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim Jauhkanlah kami semua dari siksaan dan azabMu ,dari nerakaMu, dari kemurkaanMu, dari maksiat dan keburukan serta godaan dan tipu daya syaitan. Dekatkan kami dengan syurgaMu, dekatkan kami dengan kasih sayangMu dan dekatkan kami dengan ilmu agamaMu.
Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim Berikanlah petunjuk untuk kami menuju ke syurgaMu Bukakanlah pintu hati kami untuk menerima cahaya petunjuk dariMu Tabahkan hati kami dalam menerima ujian dariMu Jadikanlah anak-anak kami hamba yang taat dan beriman dan anak yang soleh Jadikanlah kami ibu bapa yang baik dalam membimbing anak-anak kami
Ya Allah Ya Rabbi Ya Karim Murahkanlah rezeki kami, Mudahkanlah perjalanan hidup kami di dunia dan akhirat… Matikanlah kami dalam agama Islam. Teguhkan hati kami dalam agama Islam dan janganlah kau tarik nikmat Islam di dalam hidup kami
Ya Allah Ya Rahman Limpahkan kasih sayang dan keberkatan di dalam keluarga kami. Sayangilah dan ampunilah kami. Lindungilah kami Hanya kepadaMu tempat kami bermohon dan mengadu Makbulkanlah doa kami.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan